Thursday, 18 July 2013

HANYA KAIN RENTANG TERGANTUNG DI TIANG


Hanya Kain Rentang Tergantung Di Tiang..

Sekadar mengimbau kenangan

Tahun 2011 seluruh Malaysia digemparkan dengan kemunculan PBS.

PBS? Apa tu? Tak pernah dengar pun. Macam2 la zaman sekarang ni!

Setelah PBS menghulurkan salam perkenalan, ramai yang mencemuh.

PBS menyusahkan! PBS membebankan! PBS ( Pergi Buat Sendiri la. ) dan macam2 lagi cemuhan dan
kejian dilemparkan. 

PBS terus dilaksanakan di sekolah rendah. Penataran diadakan untuk semua peringkat. Bermula dari peringkat Jurulatih Utama Kebangsaan ( JUK ), JPN, PPD ,Pentadbir hinggalah guru- guru. Kata Menteri Pelajaran, ini adalah dasar! Jangan dipertikaikan! Namun sebagai Guru Besar ada sesuatu yang menganggu fikiran dan mengusik hati kecil ini. Bolehkah dillaksanakan? Mampukah saya menyahut cabaran dunia pendidikan yang menuntut pemgorbanan dan kesungguhan saya sebagai guru besar? Apatah lagi dengan pelbagai ragam dan karenah yang harus dilayan di kalangan 79 guru di bawah jagaan saya. Akhirnya saya membuat kesimpulan sendiri. "Perkara baharu, adatlah mesti ada kekangan".  Namun perubahan perlu dilakukan!

Syukurlah kerana ada dua guru di sekolah saya yang dapat saya sandarkan dan harapkan.. Mereka cuma guru biasa. Namun kerana kesungguhan dan motivasi diri yang tinggi, akhirnya mereka menjadi nadi dan jantung dalam PBS. Mereka adalah  JU negeri dan JU Kebangsaan.  Merekalah Ommu Humairah dan Qaus Quzzah.


Ommu Humairah


Qaus Quzzah

Namun sebagai guru besar, saya sedar saya tidak boleh melepaskan tanggungjawab saya kepada mereka.  Lantas langkah diatur. Strategi disusun. Maka bergeraklah kami seiring bersama bagaikan singa yang lapar.
Tidak ketinggalan GPK 1 ( sekarang telah bertukar ) turut menjadi tulang belakang saya.. Kami  bergabung idea. Mungkin kami di Step 2: Creating the Guiding Coalition dalam 8-Step Process for Leading Change karya John P.Kotter (Saya lebih mahir membaca terjemahannnya.)

Menjelalang Disember 2010 perencanaan awal sudah dirancang. Kami bagaikan tidak sabar menanti ketibaan 2011.

2011 menjelma.  Kami di SK Taman Semarak (SKTS) mencari jalan. Dua perkara utama difikirkan. Pertama, bagaimana nak tambah bahan-bahan rujukan PBS? Bahan yang diterima masih kabur dan kelam. Ommu Humairah dan Qaus Quzzah bertindak segera. Lantas Sekolah Kebangsaan Taman Puchong Perdana yang menjadi  perintis di negeri jiran dikunjungi. Syukur ..mereka memang banyak membantu!

Kedua, bagaimana pula  nak laksanakan?  Bilik khas  PBS pedicari, bahan disusun, penataran dirancang, 4 aspek jaminan kualiti PBS cuba dilaksanakan. Bahan dari LPM dijadikan rujukan. Sedikit demi sedikit PBS mula berjalan dan bernafas. Yang kelam jadi terang walaupun kekangan tetap mendatang. Seakan mencabar dan menguji kesungguhan kami. Lantas saya bisikkan peransang kepada Ommu Humairah dan Qaus Quzzah. " Hendak seribu daya.Tak hendak seribu bicara. Bulat tak datang menggolek. Pipih tak datang melayang. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Mereka juga manusia. Adakalanya perlu di beri semangat.  Bila terbayangkan kedua guru harapan saya, saya sering tersenyum sendiri. Kedua mereka mempunya perwatakan yang berbeza dan bertentangan. Ommu Humairah, perwatakannya tegas dan garang. Jarang memikirkan orang lain ketika menyuarakan pendapat. Kehebatannya dalam bab dokumentasi. Tapi cepat merajuk terutamanya ketika dia stress dan letih. Qaus Quzzah pula seorang yang tenang. Sentiasa cool menerima kritikan dan cabaran. Dia mempunya hubungan yang baik dengan ramai kakitangan KPM. Jadi memang bonus buat saya mempunyai staff seperti Qaus Quzzah.

Antara Dokumentasi PBS di Sekolah saya hasil kerja Ommu Humairah

 Antara Hasil kerja Qaus Quzzah

Satu petang, saya terima panggilan dari KS SPP,JPNS, Tuan Phakaruddin, menyampaikan hajat untuk meninjau  pengoperasian PBS di SKTS. Saya terima  dan sambut kehadirannya, walaupun dalam hati masih terasa serba kekurangan. Beliau memberi komen ringkas tetapi  penuh perangsang. Kami berbincang. Motivasi yang beliau berikan adalah titik permulaan kejayaan SKTS kerana keyakinan sudah mula tertanam. Percaya atau tidak, beliau adalah pelawat pertama bilk operasi PBS SKTS

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan  berganti tahun. Tahun 2012 , SKTS diwar-warkan di saentero negeri sebagai sekolah contoh PBS. Maka mulalah pelawat datang membuat lawatan penanda aras. Pujian sudah biasa bagi kami. Bukan nak riak tapi itulah adat bila nama tinggi dijulang. Maka penambahbaikan sentiasa dilakukan.



Bekas GPK 1 saya ( Azihan Bt Ahmad )


Antara sekolah menengah yang hadir

Satu ketika,  saya turut menghadirkan diri bersama pegawai PPD dan JPNS di Melaka, berbincang bagaimana PBS perlu dimantapkan. Dua orang guru saya yang saya kategorikan "guru hebat" semakin  tak menang tangan. Memberi penerangan di dalam dan di luar sekolah, membuat inovasi dan memastikan dokumentasi pula sentiasa diupdate. Kini Video PBS pula  dihasilkan. Benarlah!  Kalau ada tekanan, hasil dan kualiti kerja semakin memberangsangkan.



2013, SKTS diberi peluang menyertai pameran PBS sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Ada rasa sayu terpalit di hati kecil ini kerana ketika itu saya terpaksa bertukar ke sekolah baru atasa arahan dari pengarah JPN. Dua guru harapan saya, saya tinggalkan dengan amanat. " Jadilah benih yang subur. Dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke hutan menjadi gunung. Itulah detik yang paling memilukan..
Terbaru saya terima dari Ommu Humairah Ada pegawai JPNS meminjam fail pengurusan PBS untuk diletakkan di dalam "war room" di bilik gerajan JPN.. mungkin untuk di jadikan panduan oleh semua golongan pendidik.

Sebagai pentadbir, saya bangga menerima segulung kain rentang dari JPNS yang terpapar bait-bait  sekolah ini sebagai sekolah contoh PBS.



Penghujung Mac 2013 saya bertukar. Awal Julai 2013 Ommu Humairah yang merupakan tulang belakang turut bertukar.  Tinggal Quas Quzzah yang terus bermatian mempertahankan segsla yang telah kami bina bersama. Namun sehingga sekarang, kami tetap aktif dalam menyampaikan taklimat dan membantu sekolah2 yang memerlukan pendapat kami. Kami tetap bersatu hati dan pendapat untuk berkongsi pengalaman kami yang amat berharga ini. Kerana kami bermula dari zero. Kosong! Pelbagai jerit perit kami lalui. Tatkala org lain sibuk mencemuh dan mempertikaikan PBS, kami telah membuktikan kejayaan kami. Teringat saya cerita Singapura dilanggar Todak. "Tuan hamba baru nak berdayung, hamba sudah sampai ke seberang". Buat Qaus Quzzah..Usah dikhuatirkan kerana warga SKTS semakin mahir bermain dengan PBS. Bukankah segala ilmu telah kita berikan kepada mereka?....
SKTS.. kami bangga menjadi wargamu. Semoga warga SKTS sekarang meneruskan perjuangan memantapkan PBS. Kami yakin dan kami percaya. Kejayaan yang dikecapi adalah kejayaan organisasi bukan individu. Semangat berpasukan faktor utama.Anda semua pendidik hebat. Tidak ada sijil pengiktirafan yang dapat kami tinggalkan untuk tatapan masa depan. Hanya kain rentang tergantung di tiang. Makin lama semakin kusam. Terima kasih semua.

-zahaixora
15 Julai 2013 / SKS3
 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum Semua
Berikan komentar anda untuk semua pembaca.
Satu pun jadi lah!